Sunday, January 13, 2008

Pelancaran Pejabat JIM Klang

Klang, 13-Jan-2008 -- JIM Klang telah mengadakan majlis pelancaran pejabat baru JIM Klang di Taman Sri Andalas. YDP JIM Selangor telah hadir untuk merasmikan pelancaran pejabat tersebut.

Selepas majlis perasmian, telah diadakan majlis ramah mesra bersama pimpinan & ahli-ahli JIM Klang.

Disertakan di sini teks ucapan perasmian YDP JIM Selangor:

Ucapan Perasmian Pejabat JIM Klang
Hj Mazmi bin Kamal, YDP JIM Selangor
4-Muharram-1429 (13-Januari-2008)

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW serta para sahabat dan ahli keluarga baginda.

Yang saya hormati Sdr YDP JIM Klang, barisan pimpinan JIM Klang ahli-ahli JIM dan hadirin sekelian.





Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Selamat menyambut tahun baru hijrah 1429. Alhamdulillah, hari ini ialah hari yang bersejarah bagi JIM Klang kerana ia telah berhijrah dan melangkah setapak lagi ke arah kecemerlangan dakwah dengan pelancaran dan perasmian pejabat baru.

Dengan adanya pejabat ini saya berharap JIM Klang dapat menampung perubahan-perubahan yang diperlukan untuk melengkapkan dirinya supaya dapat memberi perkhidmatan dan menjalankan kerja-kerja dakwah dengan lebih efisien dan profesional.

Saudara-saudari yang dikasihi,

Kita pada tahun 2008 telah berada di awal Rancangan JIM yang ke 2 yang tempohnya dari 2008 hingga 2011. Matlamatnya adalah bagi mewujudkan barisan umat Islam yang melindungi manusia dan alam berasaskan syariah Islam.


Perasmian Pejabat JIM Klang ini sejajar dengan Tonggak Utama JIM iaitu Kekuatan Organisasi iaitu; memajukan JIM berasaskan pemantapan/pemerkasaan ahli, dana yang kukuh dan prasarana organisasi dan dakwah yang baik.

Rancang, gunakan dan makmurkanlah pejabat ini dengan sebaik mungkin ke jalan Allah s.w.t.

Jagalah kebersihan dan kekemasannya, ini akan mencerminkan imej JIM dan Islam itu sendiri.

Dengan ini saya merasmikan Pejabat JIM Klang ini dengan lafaz
Wabilahitaufik walhidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Friday, January 11, 2008

Retreat Perdana RJIM 2

Bangi, 11-Jan-2008 -- JIM Pusat dan pimpinan utama negeri-negeri seluruh malaysia telah berkumpul di NIOSH, Bangi bagi menghadiri Retreat Perdana RJIM 2. Tujuannya adalah untuk endapat maklumbalas, berbincang dan melengkapkan perancangan RJIM2.

JIM Selangor telah diwakili oleh YDP, TYDP, KW, TKW. Program berlangsung selama dua hari iaitu pada 10 & 11 Jan 2008. Dapatan daripada Retreat Perdana ini akan dimurnikan oleh JIM Pusat, kemudiankan akan diturunkan ke negeri & daerah untuk perancangan dalam sedikit masa lagi.

Thursday, January 10, 2008

JIM Selangor & Majlis Sambutan Maal Hijrah Negeri Selangor

BANTING, Khamis 10 Jan -- Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1429H, telah diadakan di Masjid Jame' Al-Ehsani,Batu 8, Sijangkang. Adinda Sultan Selangor, Tengku Indera Setia Selangor, Tengku Ahmad Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah hadir mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Turut hadir di majlis itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan), Dato’ Tarmedi Omar dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Pada majlis itu, Tengku Ahmad Shah turut melancarkan Bulan Zakat Negeri Selangor dan menyampaikan sumbangan kepada lima pertubuhan dakwah Islam. Iaitu JIM, ABIM, PERKIM, MACMA dan Al-Hidayah.


Seramai 12 pelajar terbaik peperiksaan Sekolah-sekolah Agama negeri Selangor turut menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tengku Idris Shah.

Pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dipilih sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Negeri Selangor. Beliau menerima hadiah wang tunai RM10,000, pingat, sijil, sepersalinan pakaian dan pakej mengerjakan umrah.



Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Osman, 48, pula dianugerahkan Tokoh Aktivis Masyarakat Negeri Selangor. Beliau yang aktif dalam hal ehwal kepenggunaan khususnya makanan halal, membawa pulang wang tunai RM5,000, pingat, sijil, sepersalinan pakaian dan pakej mengerjakan umrah.



Lima penerima anugerah lain ialah Muhammad Fitri Abdullah (Tokoh Saudara Kita), Datuk Ibrahim Kassim (Tokoh Nazir Masjid), Masiman Abdul Moin ( Tokoh Imam), Murtini Kasman (Tokoh Keluarga Mithali) dan Unit Mubalighat Jabatan Agama Islam Selangor (Pertubuhan Badan Dakwah Sukarela).