Tuesday, March 10, 2009

Kenyataan Media-JIM Sokong Kerajaan Selangor Mengambialih Industri Air Di Selangor

Air adalah salah satu keperluan umum yang mana masyarakat bergantung kepadanya untuk kehidupan. Segenap lapisan masyarakat samada yang tua atau muda, kaya atau miskin, di bandar ataupun kampung semuanya memerlukan air.

Menyedari kepentingannya untuk semua lapisan masyarakat umum, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Negeri Selangor menyokong Kerajaan Selangor mengambilalih semula industri air di Selangor. Aset keperluan umum seperti air perlu dimiliki oleh Kerajaan Negeri dengan hasrat menjaga kepentingan umum, dan bukannya dimiliki oleh mana-mana individu atau swasta yang beroperasi dan bertindak berdasarkan untung-rugi semata-mata.

Namun, syarikat-syarikat swasta boleh berperanan mengambil upah untuk menjalankan kerja-kerja bagi pihak kerajaan negeri dalam usaha memberikan perkidmatan yang terbaik untuk rakyat.

JIM Negeri Selangor ingin menyeru semua pihak yang terlibat agar memberi kerjasama dan meletakkan kepentingan rakyat umum di Selangor sebagai keutamaan, serta mencari jalan untuk mepercepatkan usaha baik ini.

Mazmi bin Kamal
YDP JIM Negeri Selangor
11-Mac-2009