Thursday, January 10, 2008

JIM Selangor & Majlis Sambutan Maal Hijrah Negeri Selangor

BANTING, Khamis 10 Jan -- Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1429H, telah diadakan di Masjid Jame' Al-Ehsani,Batu 8, Sijangkang. Adinda Sultan Selangor, Tengku Indera Setia Selangor, Tengku Ahmad Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah hadir mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Turut hadir di majlis itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan), Dato’ Tarmedi Omar dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Pada majlis itu, Tengku Ahmad Shah turut melancarkan Bulan Zakat Negeri Selangor dan menyampaikan sumbangan kepada lima pertubuhan dakwah Islam. Iaitu JIM, ABIM, PERKIM, MACMA dan Al-Hidayah.


Seramai 12 pelajar terbaik peperiksaan Sekolah-sekolah Agama negeri Selangor turut menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tengku Idris Shah.

Pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dipilih sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Negeri Selangor. Beliau menerima hadiah wang tunai RM10,000, pingat, sijil, sepersalinan pakaian dan pakej mengerjakan umrah.



Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Osman, 48, pula dianugerahkan Tokoh Aktivis Masyarakat Negeri Selangor. Beliau yang aktif dalam hal ehwal kepenggunaan khususnya makanan halal, membawa pulang wang tunai RM5,000, pingat, sijil, sepersalinan pakaian dan pakej mengerjakan umrah.



Lima penerima anugerah lain ialah Muhammad Fitri Abdullah (Tokoh Saudara Kita), Datuk Ibrahim Kassim (Tokoh Nazir Masjid), Masiman Abdul Moin ( Tokoh Imam), Murtini Kasman (Tokoh Keluarga Mithali) dan Unit Mubalighat Jabatan Agama Islam Selangor (Pertubuhan Badan Dakwah Sukarela).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home