Tuesday, January 30, 2007

Laporan DERU JIM AJ -2

BATU PAHAT 25 Januari (6 Muharram) – Pasukan sukarelawan JIM Daerah Ampang Jaya yang terdiri daripada 2 orang ikhwah dan 2 orang akhawat tiba di Air Hitam Batu Pahat pada jam 10.30pagi setelah bertolak dari rumah Tuan Haji Azme Idris tepat pukul 7.30pagi.

Rombongan yang terdiri daripada Puan Noriah (ibu kapada En.Yusri), Abu Zar@En.Yusri, Habibah (isteri En. Yusri) dan penulis berkumpul bersama pasukan JIM Deru Johor di pejabat JIM Daerah Batu Pahat bertujuan menyalurkan dan memberi bantuan kepada mangsa banjir di pusat-pusat penempatan sementara mangsa banjir. Pasukan JIM Deru Johor yang diketuai Akh Salleh Kassim Saleh (Pengarah JIM Deru Johor) turut dibantu oleh En. Ainullotfi (YDP Johor), Dr. Khalid, En. Abdul Razak, Puan Sumilah dan Puan Mahayati.

10.40pagi – Barang-barang keperluan seperti pakaian, bedak, alat tulis, makanan dan barangan keperluan harian telah disusun semula ke dalam dua buah kenderaan pacuan empat roda. Salah satu kenderaan yang berupa Mitsubishi Storm meurupakan hasil sumbangan ikhlas Tuan Haji Syed Zakaria.Pasukan bertolak dan mula memasuki kawasan kampung melalui Pekan Seri Medan tepat jam 11.38 pagi. Jalan masuk yang dikatakan sebelum ini sedalam 3 kaki dua atau tiga hari sebelumnya telah agak surut ke paras 2 kaki ketika pasukan meredah kawasan yang telah dinaiki air. Perjalanan mengambil masa lebih kurang setengah jam meredah kawasan banjir yang sejauh lebih kurang 5km. Dua “photographer” bertugas (Akh Ainullotfi dan Abu Zar) telah bertenggek di belakang kenderaan pacuan 4 roda masing-masing bagi merakamkan suasana yang sungguh menambahkan keimanan.

Pasukan tiba di pusat penempatan sementara mangsa banjir Masjid Parit Lapis Bangas Seri Medan Batu Pahat lebih kurang jam 12.11tengahari. Pasukan telah disambut dengan meriahnya oleh Wak Sahlan, Cikgu Rahman dan penduduk kampung yang menetap di masjid tersebut. Barangan keperluan telah diagihkan dan pasukan beramah mesra dengan penduduk. Akh Ainullotfi turut diberi peluang oleh Wak Shalan untuk menyampaikan sediikit ucapan dan tazkirah.Kawasan kampung yang dinaiki air sebelum ini telah nampak mula surut. Terdapat juga penduduk yang telah pulang pada siang hari dan mejadikan Masjid hanya sebagai tempat tidur di malam hari.

Pasukan turut mengambil peluang mengadakan mesyuarat ringkas bersama Cikgu Rahman bagi membincangkan program yang bakal dianjurkan oleh JIM Johor bersama penduduk kampung Parit Lapis Bangas pada 27 dan 28 Januari (Sabtu dan Ahad) yang akan datang. Akh Salleh turut meyakinkan penduduk kampung bahawa pelajar-pelajar Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) seramai 80 orang akan turut memeriahkan program tersebut bersama JIM Johor. Selesai mesyuarat pasukan disajikan dengan jamuan tengahari yang cukup enak berluakkan ikan goreng, sayur kobis dan ikan masak singgang.

Pasukan kemudian bertolak ke destinasi seterusnya jam 1.15petang dan tiba di pusat penempatan sementara mangsa banjir Sekolah Kebangsaan Sejagong Seri Medan Batu Pahat jam 2.12petang. Di dalam perjalanan pasukan mengambil peluang menumpangkan (di atas kenderaan pacuan 4 roda) para pelajar remaja yang pulang ke rumah meredah kawasan yang dinaiki air.Setelah tiba pasukan mengagihkan makanan dan barangan keperluan berbentuk alat tulis. Pasukan turut mengambil peluang mengagihkan “jajan” kepada para pelajar dan kanak-kanak. Solat Zohor dan Asar (Jama’ Qasr) berjamaah turut dilakukan di sini. Pasukan sekali lagi dijamukan dengan makanan dan kali ini disajikan dengan Mee Rebus Maggi.

Barangan agihan yang habis diberikan di Sekolah Kebangsaan Sejagong Seri Medan Batu Pahat mamaksa Pengarah JIM Deru Johor (Akh Salleh) membuat keputusan untuk ke kedai berhampiran utuk membeli dan menambah barangan keperluan untuk diberikan ke pusat penempatan sementara seterusnya. Di waktu yang sama Akh Ainullotfi telah mengadakan mesyuarat bersama En. Mursyidi selaku PIBG Sekolah Sejagong bagi membincangkan program seterusnya yang bakal diadakan seperti di kampung Parit Lapis Bangas.

Antara komen menarik En. Mursyidi ialah
“Bila saya boleh sertai jamaah ini agar saya dapat buat kerja yang sama” dan
“Adakah jamaah ini untuk orang-orang bandar sahaja”.

Pasukan kemudian bertolak dan singgah di pusat penempatan sementara mangsa banjir Masjid Jame’ Parit Jayus pada pukul 4.41petang untuk berjumpa semula dengan Akh Salleh yang selesai membeli barangan makanan. Sangkaan bahawa Peace (AMAN) Malaysia telah sampai kerana kelihatan “sticker” tertampal di pagar masjid menghilangkan hasrat singgah pada awalnya. Namun pasukan tetap mengambil kesempatan untuk menghulurkan bantuan dan bermu’yashah dengan Tuan Haji Jamali selaku ketua di Masjid Jame’ Parit Jayus Seri Medan.Perjalanan diteruskan dan singgah sebentar di masjid behampiran Satay Sahlan Seri Medan untuk memberi peluang Dr Khalid menunaikan solat Asar. Sementara menunggu pasukan merancang untuk menjamu selera di Satay Sahlan Seri Medan (no tel 0197698688 atau 074850662 ) namun hasrat terpaksa dibatalkan kerana tiada jualan pada hari tersebut. Namun pasukan sekali lagi tetap mengambil peluang beramah mesra dengan ibu kepada Ustaz Ibrahim di kedai tersebut.

Setelah berselisih dengan lori McDonald (yang memberi sumbangan makanan ke salah satu pusat penempatan sementara mangsa banjir) dan melalui jalan tidak berturap ladang kelapa sawit akhirnya pasukan sampai di Kampung Seri Tanjung lebih kurng jam 6.00petang. Ketibaan kami disambut oleh Pengerusi pusat penempatan sementara En. Norahiman Waldan serta penduduk kampung dan rombongan PKRM (Parti Keadilan Rakyat Malaysia). Suasana berbeza pusat penempatan banjir khemah sementara Kampung Seri Tanjung menyaksikan penduduk hanya tinggal di dalam khemah dan “canopy”. Khemah penempatan yang tidak diiktiraf kerajaan ini kelihatan agak menyedihkan tanpa sebarang dewan atau bangunan untuk didiami sementara. Bangunan yang kelihatan hanyalah sebuah rumah milik pekerja Indonesia yang bertugas sebagai pekerja ladang di kawasan tersebut. Sebanyak 25 buah keluarga terpaksa berkongsi khemah dan “canopy” di kawasan tersebut setelah melalui dua gelombang banjir sejak 2 bulan yang lalu. Namun kepayahan yang dilalui tidak menghalang penduduk medekatkan diri kepada yang Maha Esa apabila satu “canopy” kelihatan dikhususkan sebagai surau tempat bersembahyang.

Pasukan akhirnya bertolak pulang lebih kurang jam 6.48petang setelah mengagihkan makanan dan barangan keperluan kepada penduduk di pusat penempatan banjir khemah sementara Kampung Seri Tanjung.

Lapuran oleh Zahid Zainuddin – ahli DERU JIM AJ

0 Comments:

Post a Comment

<< Home